Najis dan Kaedah Penyuciannya
PENGERTIAN NAJIS
- Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi.
- Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat.
PEMBAHAGIAN NAJIS
- Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:
1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor
sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi
kepada tiga:
i. Mughallazah (berat), iaitu
anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.
ii. Mukhaffafah (ringan), iaitu air
kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai
umur dua tahun.
iii. Mutawassitah (pertengahan),
iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai binatang adalah najis
kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak
kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah
satunya.
2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran
yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath kecil yang dapat dihilangkan
dengan berwudhu’ dan hadath besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan
mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.
NAJIS YANG DIMAAFKAN
Tiada sebarang najis yang dimaafkan.
Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang
sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak
ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:
1. Najis yang tidak dapat dilihat
oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.
2. Darah jerawat, darah bisul, darah
kudis atau kurap dan nanah.
3. Darah binatang yang tidak
mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.
4. Tempat berbekam, najis lalat,
kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.
CARA MENYUCI NAJIS
- Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.
- Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:
1. Najis mughallazah (berat)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu
terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah
satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau
dan rasa).
2. Najis mutawassitah (pertengahan)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu
terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga
hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).
3. Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah dihilangkan `ain najis itu
terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke
atasnya.
· Untuk menyucikan najis hukmiyy
iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas
tempat yang terkena najis tersebut.
-Wallahualam-
No comments:
Post a Comment