Pesanan Kepada Mereka Yang Enggan
Berkahwin
Kahwin adalah Sunnah Rasulullah
s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia.
Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka
telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk
hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan-Nya.
Islam adalah melarang ummahnya
hidup membujang - tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari
menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan
diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.
Dalam Islam berkahwin adalah
merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan
berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga
dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh
Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi
Waqqas :
"Berkahwinlah kamu Maka
sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak
ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang Nasrani bertapa -
hidup membujang".
Mereka yang enggan berkahwin, Imam
Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya :
Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
menanyakan tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang
sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa
'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu
sedikit dan sangat-sangat "kurang."
Mereka berkata sesamanya:
"Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak
sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah
lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata:
"Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain
akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan
berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan
diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup
membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:
Kamu semua berkata begitu?
Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap
Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku
(tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin
dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu
bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mereka yang enggan berkahwin
(hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan
tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah
mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu
adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.
Dalam masalah ini, at-Tabari
berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan
ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap
dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah
bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan
halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)
Sehubungan dengan ini,
diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:
Seorang lelaki mengadu dan
bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak
berkahwin) selama-lamanya, katanya:
" Bolehkah aku berkasi?" Baginda
menjawab dengan sabdanya:
Tidak ada dalam agama kita orang
yang berkasi. (Riwayat Tabrani)
Dalam masalah ini, Sa'ad bin
Waqqas berkata:
Rasulullah s.a.w. telah
melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang (tanpa berkahwin).
Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin),
tenteulah kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)
-Wallahualam-
No comments:
Post a Comment