Saturday 21 January 2012

Ilmu Senjata Jihad Mengubah Masyarakat
Umat Islam hendaklah menjadi insan berilmu dan
berperangai baik. Perkara ini kerana sikap itu mulia
di sisi Allah.

Ilmu yang dipelajari hendaklah mengikut kehendak Allah
seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw.

Ilmu itu anugerah Allah untuk memberi nur (petunjuk)
kepada umat manusia. Apabila menuntut ilmu Allah,
berilah tumpuan tanpa ragu-ragu.

Tiada guna banyak belajar, tetapi tidak diamalkan.
Kesudahannya, ilmu yang dipelajari akan menjadi
sebagai ilmu pengetahuan biasa saja, tanpa mendapat
faedah daripada padanya.

Amalan akan menjadi baik jika seseorang itu berilmu.
Oleh itu, umat Islam hendaklah belajar dan
mengamalkannya kerana tanpa amalan, ilmu itu tidak
menjadi nur kepada kita.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang alim itu ialah
orang yang beramal dengan apa yang dia tahu.”

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya,
Rasulullah bersabda bermaksud: “Antara tanda hampir
kiamat adalah terhapusnya ilmu Islam, munculnya
kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan
dilakukan secara terang-terangan.”

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-As,
katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda
bermaksud: “Allah tidak mengambil ilmu Islam itu
dengan cara mencabutnya daripada manusia. Sebaliknya
Allah mengambilnya dengan mengambil ulama hingga tidak
tertinggal walaupun seorang.

“Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin,
menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi
fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan.
Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain
pula.”

Kita berpenat lelah di dunia melaksanakan perintah
Allah untuk dibawa sebagai bekalan pada akhirat.

Tujuan kita untuk mendapatkan keredaan Allah, bagi
mendapatkan syurga Allah. Kita hidup hendaklah ada
tujuan. Tujuan kita semuanya hendak memasuki syurga
Allah, semuanya tidak mahu masuk neraka.

Tetapi cuba ukur adakah amalan kita setiap hari boleh
memberi jaminan di akhirat nanti.

Pada hari akhirat nanti, semua pekerjaan kita di dunia
akan dibentangkan satu persatu dengan begitu terang.
Adakah kita berhak mendapat syurga Allah atau
sebaliknya?

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak
sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat
zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah)
itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan
akan memberi daripada sisi-Nya, pahala yang amat
besar.” (Surah an-Nisa, ayat 40)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Pada hari itu manusia akan
keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk
diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal mereka.
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya
akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa
berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah,
ayat 6 hingga 8.)

Kepentingan ilmu, ditegaskan lagi oleh Nabi Muhammad
yang bersabda bermaksud: "Siapa yang melalui suatu
jalan kerana mencari ilmu pengetahuan, Allah akan
memudahkan kepadanya jalan ke syurga." (Hadis riwayat
at-Tirmizi)

Dalam hadis ini Rasulullah menunjukkan ke arah suatu
jalan lurus menuju ke syurga, iaitu jalan mempelajari
ilmu pengetahuan.

Orang yang mengikuti cahaya ilmu pengetahuan tidak
akan meraba dalam kesesatan selama-lamanya.

Dengan ilmu pengetahuan seseorang itu akan memperoleh
segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Oleh itu, tuntutlah ilmu pengetahuan yang berguna dan
berfaedah demi agama, bangsa dan negara.

Umat Islam sangat digalakkan supaya menuntut ilmu
berfaedah yang dapat diguna dan disebarkan kepada
ramai orang.

Dengan ilmu itu juga dapat membangunkan umat Islam
daripada ketinggalan dan terus ditindas oleh orang
lain.

Hapuskanlah penyakit buta huruf agama yang sedang
bermaharajalela di kalangan umat Islam kini.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud:
"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan
keredaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana
ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat
mencium bau syurga pada hari akhirat kelak." (Hadis
riwayat Abu Daud)

Menuntut ilmu adalah antara amalan terpuji yang amat
digalakkan Islam disebabkan kedudukan ilmu itu yang
cukup mustahak dalam kehidupan insan.

Dengan ilmu, seseorang akan memperoleh petunjuk,
terhindar daripada kejahilan dan boleh membina hidup
berdasarkan panduan Islam.

Berkenaan dengan martabat orang berilmu, Allah
berfirman yang bermaksud: "Allah mengangkat orang
beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu satu
darjat."

Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang
tinggi di dunia mahupun akhirat.

Islam menuntut keikhlasan niat dalam segala perkara,
termasuk dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk
keduniaan atau ilmu agama.

Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut
janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ilmu
mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan di
akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat.

Mereka mengejar atau mendalami ilmu bukannya untuk
kepentingan dunia semata-mata seperti mengumpul harta,
merebut kenaikan pangkat atau mengejar glamor.

Golongan seumpama ini, mendapatkan ilmu bagi tujuan
tidak murni. Jika begini kelakuan mereka, pastinya
mereka tidak akan dapat mencium bau syurga pada
akhirat nanti.

Ilmu yang berkat adalah yang membuatkan seseorang itu
semakin dekat dengan Allah. Bukan menjadikan dia
semakin jauh dan lalai hingga melanggar hukum Allah
atau sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan,
menipu, mencuri dan merampas hak orang.

Ilmu adalah mengetahui mengenai sesuatu perkara.
Perkara yang boleh diketahui itu bergantung kepada
kemampuan dan usaha seseorang.

Menuntut ilmu adalah jihad yang dituntut oleh Islam ke
atas setiap penganutnya.

Dengan berbuat demikian akan menjadikan seseorang itu
menduduki martabat yang tinggi berbanding orang yang
tidak berilmu.

Nabi Muhammad bersabda maksudnya: "Siapa yang keluar
untuk menuntut ilmu, maka dia berjuang fisabilillah
hingga dia kembali."

Oleh itu, selaku umat Islam kita hendaklah berusaha
menambahkan ilmu, termasuk berkaitan dengan Islam
kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah.

Malah, salah satu daripada petanda ilmu yang berkat
itu ialah apabila seseorang itu bertambah ilmunya,
semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa kepada
Allah.

Selain itu, kita diingatkan tidak kedekut bagi
menyampaikan ilmu berguna kepada orang lain.

Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa
yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya
akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya
seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka pada
hari kiamat."

Hadis ini menekankan bahawa Islam sangat menghargai
ilmu dan ulama (ilmuwan), hingga kedudukan ilmu dan
ulama sangat tinggi dan mulia dalam Islam.

Allah berfirman maksudnya: Nescaya Allah akan
meninggikan orang yang beriman antaramu dan orang yang
diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat" (Surah
al-Mujaadalah, ayat 58).

Disebabkan kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya,
Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu.
Mereka juga diharapkan bekerja berdasarkan ilmunya,
bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan.

Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh
membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan
peradaban yang berguna.

Mereka yang menyampaikan ilmu itu juga perlu
memberikan gambaran yang betul mengenainya tanpa iri
hati atau tamak. Perkara ini kerana orang yang
memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan
balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang
mengamal ilmu itu. Wallahualam...

No comments:

Post a Comment