TUJUAN HUKUMAN
Hukuman hudud,
qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah
bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya
lima perkara:
1. Menjaga
agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari
aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh
bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh
akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa
yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)
2. Menjaga
nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota
tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh
manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib
dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
"Dan di
dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang
berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)
3. Menjaga akal
fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum
arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib
dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana
yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang
bermaksud:
"Rasulullah
s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat,
dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan
Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .
4. Menjaga
keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab
keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan
haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum
sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang
diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:
"Ambillah
peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah
telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya
disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan
janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat
dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
5. Menjaga harta
benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan
menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati
atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas
perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan
orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya)
potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah
usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah)
Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)
Firman Allah
s.w.t. lagi yang bermaksud:
"Sesungguhnya
balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di
jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak
merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong
tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau
dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang
demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak
mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)
-Wallahualam-
No comments:
Post a Comment