Saturday 28 January 2012


 BENTUK HUKUMAN SYARIAH ISLAM


Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut. 

1. Hukuman Hudud

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, 2:229).

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.
b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam. 

2. Hukuman Qisas

Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan. 

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:
a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178) 

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: 

"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)

3. Hukuman Diyat

Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya. 

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:
a) Pembunuhan yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).
c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178) 

4. Hukuman Ta`zir 

Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka. 

-Wallahualam-

Friday 27 January 2012


 TUJUAN HUKUMAN 

Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara: 

1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari) 

2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179) 

3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud: 

"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .

4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:

"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud) 

5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: 

"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: 

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33) 

-Wallahualam-

 WALIMATUL 'ARUS


PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS
  • Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
  • Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.
PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS
  • Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:
Maksudnya: “’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”
(Al-Hadith)

TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS
  • Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:
Maksudnya:
“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
  • Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
  • Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:
1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.
2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.
4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA


Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing". 

HUKUM MENGHADIRINYA 

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.
ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.
iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.
iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.
v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.
vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.
vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.
viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.
ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam. 

-Wallahualam-

Wednesday 25 January 2012

MATAHARI DITAHAN AGAR TIDAK TERBENAM UNTUK NABI YUSYA'


 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah Saw bersabda bahawa ada seorang nabi dari kalangan nabi-nabi Allah yang ingin berperang .Maka beliau berkata pada umatnya "Seorang lelaki yang bersetubuh dengan isterinya dan dia mengharapkan anak tetapi masih belum mendapatkannya tidak boleh turut serta dalam peperangan ini. Begitu juga orang yang membina rumah tetapi belum sempat menaikkan atapnya. Juga tidak boleh ikut bersamaku orang yang telah membeli kambing atau unta yang bunting yang sedang menunggu kelahiran anaknya."

Maka berangkatlah nabi tersebut untuk berjihad .Ketika waktu Asar hampir tiba , rombongan tersebut telah sampai di desa dan daerah yang dituju .Nabi tersebut memerintahkan pada Matahari "Wahai matahari kau tunduk pada perintah Allah Swt dan aku juga demikian . Ya Allah tahanlah matahari itu sejenak agar tidak terbenam." Lalu Allah Swt menahan matahari itu hingga mereka dapat menakluki daerah tersebut. 
Setelah itu, bala tenteranya telah mengumpul harta rampasan di sebuah tempat. Kemudian ada api yang marak menyala tetapi tidak mampu membakarnya .Maka Nabi itu pun berkata." Antara kalian ada yang berkhianat , masih menyimpan sebahagian harta rampasan, aku harap daripada setiap kabilah ada orang yang mengangkat sumpah." Mereka mengangkat sumpah, ketika sampai kepada giliran dua dan tiga orang daripada anggota kabilah tersebut, tangan Nabi di pegang erat, kemudian Nabi berkata," Kalian telah berkhianat." Lalu mereka pun mengeluarkan emas sebesar kepala lembu . Emas itu pun di kumpulkan dengan harta rampasan yang lainnya yang telah dikumpulkan sebelumnya di tanah lapang. Tiba-tiba datanglah api menyambar dan melenyapkan harta tersebut.

Harta rampasan memang tidak dihalalkan untuk umat sebelum kita .Ia kemudiannya dihalalkan untuk kita kerana Allah Swt melihat kelemahan dan ketidakmampuan kita.

(Riwayat al-Bukhari, 3142; Muslim,1747; Ahmad ,2/325; Abdur Razzaq,9492; al-Baihaqi dalam al-Kubra, 6/290)

Pengajaran Kisah:
  1. Berjuang di jalan Allah merupakan kewajipan setiap Muslim.
  2. Urusan-urusan penting tidak patut diserahkan melainkan kepada golongan Profesional dan mempunyai keahlian dalam menguruskannya.
  3. Seseorang yang ingin berjihad di jalan Allah Swt hendaklah menumpukan perhatiannya pada jihad tanpa memikirkan urusan dunia.
  4. Keseronokan hidup di dunia dengan berbagai-bagai fitnahnya sering kali menyebabkan manusia menjadi tamak.
  5. Seluruh benda yang tidak bernyawa tunduk dan patuh pada perintah Allah Swt ,tunduk dan patuh pada kehendak-Nya , sentiasa taat dan tidak melakukan maksiat dalam apa keadaan sekalipun.
  6. Umat-umat terdahulu tidak dibenarkan mengambil harta rampasan perang ,sebaliknya umat Nabi Muhammad Saw dihalalkan untuk mengambil harta rampasan perang.- Wallahualam-
 KASIH SAYANG ALLAH SWT SANGAT LUAS


Daripada Abu Said al-Khudri r.a ,Nabi Saw bersabda bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki telah membunuh manusia seramai 99 orang. Pda suatu hari, dia ingin bertaubat dan mencari-cari orang yang berilmu di negeri itu yang dapat memberi bimbingan .Dia telah di bawa kepada seorang pendeta , lantas dia menceritakan kejahatannya membunuh 99 orang dan dia bertanya" Adakah taubatku masih di terima?"

Kemudian pendeta itu mengatakan" Tidak, taubatmu tidak akan diterima." Lantas orang itu membunuh pendeta itu tadi. Maka telah genaplah 100 orang tang telah dibunuhnya. Dia terus mencari-cari orang yang paling alim yang lain di negeri itu untuk meminta nasihat. Maka dia pun telah dibawa kepad seorang yang paling alim ( Ahli Ilmu)

Dia telah menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang , maka apakah masih diterima taubatnya? Orang alim itu pun menjawab " Ya, masih boleh. Siapakah  yang berhak untuk menghalangi seseorang untuk bertaubat? pergilah ke daerah sana kerana penduduknya menyembah Allah Swt . Sembahlah Allah Swt bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu adalah daerah hitam ( banyak melakukan maksiat ) ."

Maka orang itu pergi ke tempat tersebut. Apabila sampai di tengah perjalanan , dia pun meninggal dunia. Kemudia malaikat rahmat dan malaikat azab pun bertengkar merebutkan orang itu. Malaikat rahmat membela" Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuhy hati kepada Allah Swt." Sedang malaikat azab berhujah dengan katanya " Sesungguhnya dia belum pernah membuat kebaikan walaupun sedikit." 

Lantas malaikat lain diutuskan turun oleh Allah Swt dan kedua-dua malaikat itu bersetuju untuk menjadikannya sebagai hakim. Malaikat yang menjadi hakim itu pun berkata ." Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, dan nasibnya di tentukan berdasarkan jarak yang paling hampir." 

Apabila di ukur mereka dapati daerah yang dituju itulah yang paling hampir . Dengan demikian, dia diterima oleh malaikat rahmat.

( Riwayat al-Bukhari,3470; Muslim no,2766)

Pengajaran Kisah:
  1. Seseorang yang mempunyai masalah hendaklah berdamping dengan Ulama agar dapat menyelesaikan masalah.
  2. Orang yang berilmu lebih utama dari ahli ibadah.
  3. Orang yang ingin bertaubat hendaklah mengubah cara hidup dengan menjauhkan diri dari teransang untuk melakukan perbuatan dosa.
  4. Islam menganjurkan kita mencari tempat tinggal yang aman dan kondusif bagi mewujudkan semangat tolong-menolong ke arah kebaikan.
  5. Seseorang yang ditanya namun dia kurang pasti pada jawapannya hendaklah mengatakan Wallahualam.
  6. Jangan sewenang-wenang membuat keputusan pada jawapan yang kurang pasti. 
  7. Allah Swt mengampuni hamba-Nya sesuai dengan niat dan azamnya sekalipun dia belum mampu melaksanakan perbuatan yang diniatkan.- Wallahualam-



NABI SAW MENEWASKAN AHLI GUSTI ZAMANNYA


Diriwayatkan Abu Daud dan al-Tirmizi, daripada Abi Ja'far bin Muhammad bin Rukanah daripada bapanya mengatakan bahawa Rukanah pernah mencabar Nabi Saw untuk beradu kekuatan. Lalu apabila mereka berlawan Nabi Saw telah mengalahkannya.

Dalam riwayat oleh Abu Bakr al-Syafi'i dengan sanad yang baik daripada Ibnu Abbas r.a., bahawa Yazid bin Rukanah, seorang pendekar yang terkenal dengan kekuatannya, telah mencabar Nabi Saw untuk bergusti. Beliau mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah . Lalu Nabi Saw telah menundukkannya sebanyak tiga kali dalam tiga pusingan.

Akhirnya dia berkata " Wahai Muhammad!! tiada siapa yang pernah dapat membaringkan aku dalam pertarungan selain darimu ! sebelum ini kaulah orang yang paling aku benci. Tapi sekarang aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah Swt, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah ." Nabi Saw kemudiannya telah mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan sebagai taruhan dalam pertarungan itu.

(Riwayat Abu Daud, 4077; al-Tirmizi,1844; al-Hakim 3/452.)

Pengajaran Kisah:
  1. Nabi Muhammad Saw merupakan manusia yang gagah perkasa.
  2. Islam mengharuskan pertandingan menguji kekuatan terutamanya jika untuk tujuan berdakwah.
  3. Pertandingan yang diharamkan dalam Islam apabila ianya berkaitan dengan menguji nasib yang boleh mengakibatkan pergaduhan sesama manusia.
  4. Umat Islam dituntut supaya makan daripada sumber-sumber yang halal dan bersih serta dapat menjadikannya sihat dan bertenaga.


Tuesday 24 January 2012

NABI DAN SARANG SEMUT

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah Saw bersabda bahawa seekor semut telah menggigit seorang Nabi. Kemudian Nabi tersebut telah memerintahkan supaya di bakar sarang semut bersama sekalian semut di dalamnya. Maka Allah Swt mewahyukan kepadanya, " Adakah kerana seekor semut yang mengigitmu lalu engkau memusnahkan suatu umat yang sentiasa bertasbih pada Tuhannya?"


(Riwayat al-Bukhari,3219;Muslim,2241;Abu Dawud,5265;Ahmad,2/313;al-Nasaie,7/211;Ibnu Hibban,7/463;al-Baghawi,12/197)


Pengajaran Kisah
  1. Membunuh semut adalah dilarang sebagaimana membunuh haiwan lain melainkan membawa mudarat
  2. Seluruh haiwan sebenarnya bertasbih kepada Allah Swt.
  3. Hukum membakar sarang semut dalam syariat sebelum Nabi Muhammad Saw adalah diperbolehkan sedangkan pada syariat Nabi Muhammad adalah dilarang.
  4. Dosa kejahatan seseorang tidak di bebankan ke atas orang lain.Firman Allah:Maksudnya: Dan orang-orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang yang lain (Surah Fathir:18) -Wallahualam-